Fidyah As Sofa

JOM BAYAR FIDYAH..
Apa itu Fidyah?
Fidyah ialah Hukuman Denda ke atas seseorang Islam yang telah Baligh (cukup umur) kerana kesilapan meninggalkan puasa wajib di Bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja dengan melewatkan puasa ganti (Qada').
Hukum Fidyah
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia akan disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan. Firman Allah SWT yang bermaksud :-
"Puasa yang diwajibkan Itu ialah beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia mengganti puasa sebanyak (hari yang dia tinggalkan) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya untuk berpuasa itu membayar Fidyah, Iaitu memberi makan orang-orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari puasa yang di tinggalkan)."
(Al-Baqarah : 184)
Sebab-Sebab dikenakan Fidyah?
1. Uzur dalam menunaikan ibadah puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit yang teruk dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2. Perempuan hamil
Perempuan hamil juga dikira uzur dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya, seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (Qada’) puasa yang ditinggalkan.
3. Ibu yang menyusukan Anak
Bagi para ibu yang kekurangan susu badan, menyusukan anak dan bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka wajib baginya menggantikan (Qada’) puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4. Ahli keluarga yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ianya wajib diambil kira sebelum pembahagian pusaka dilaksanakan.
5. Musafir dan Pesakit yang tidak mengqada’kan puasa pada tahun ia ditinggalkan
Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
6. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah ke Bulan Ramadhan yang berikutnya, dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (Qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan Kecuali bagi mereka yang tiada kemampuan.
Kadar Fidyah?
Kadar Fidyah adalah RM4.00 sehari termasuk kos pengurusan.